Tuesday, February 21, 2012

amalan persekitaran berkualit 5S, Bahagian Akaun, KPM.. Mari melawat meja saya dan kawasan sekeliling..

Salam...

Pada 31 Oktober 2011 lepas, Bahagian Akaun KPM telah di iktiraf sebagai jabatan yang mengamalkan 5S.
Makna bagi Akronim 5S ialah

S1- Sisih
S2- Susun
S3- Sapu
S4- Seragam
S5- Sentiasa Amal

     Proses untuk mendapatkan 5S ni bukan mudah namun tak mustahil. Kami mengambil masa lebih kurang setahun untuk betul-betul layak di beri beri iktiraf 5S. Proses yang saya rasakan paling sukar ialah proses S1 iaitu proses menyisih.. Terlalu banyak barang dan dokumen yang dirasakan perlu disimpan sedangkan ia sudah layak disisih.. Sehinggakan kerja menyisih perlu dilakukan berulang kali agar dokumen dan barang-barang yang benar-benar perlu sahaja yang disimpan..

     Proses S2 juga tak kurang mencabar.. Di sini jawatankuasa yang berkaitan perlu sama-sama berbincang dan "braistorming" untuk mendapatkan kaedah menyusun yang sesuai mengikut keperluan kerja dan jabatan.. Setiap jabatan mempunyai kaedah menyusun yang berbeza. Tiada undang-undang atau garis panduan yang tepat mengenai kaedah menyusun ini kerana penyimpanan dokumen dan barang-barang setiap jabatan adalah berlainan.. Maka, terpulang kepada jawatankuasa masing-masing untuk memutuskan cara mana yang paling sesuai digunakan.

      S3- Sapu. Setelah kerja-kerja sisih dan susun dilakukan, semua sampah, habuk dan bahan buangan perlu di sapu dari pejabat itu.. Ini lebih banyak melibatkan tugas pegawai aset.. Kami banyak melupuskan komputer rosak, almari rosak, meja rosak, dokumen yang tidak aktif dan perlu dilupuskan. Di peringkat ini, pegawai aset perlu bertindak proaktif untuk memastikan tiada lambakan barang-barang rosak dan tidak berguna di pejabat. Proses melupuskan pun perlu mengikut prosedur dan pekeliling yang telah ditetapkan dan direkodkan dengan betul.

     Bagi peringkat S4 iaitu Seragam, mesyuarat jawatankuasa induk perlu bertindak agar setiap zon mempunyai aturcara 5S yang seragam. Contohnya menyeragamkan kaedah penyimpanan fail dan surat. Di setiap zon juga, setiap individu perlu menyeragamkan kedudukan meja dan peralatan pejabat. Kesepakatan perlu diambil agar keputusan dapat dibuat dan mendapat keputusan yang dipersutujui ramai contohnya menyeragamkan agar semua kakitangan menyimpan alat tulis di dalam laci dan menyediakan sudut khas peribadi pada dinding partition masing-masing. Tiada undang-undang khas berkaitan perkara ini, semuanya perlu diputuskan melalui mesyuarat jawatankuasa masing-masing. Setiap jabatan mempunyai amalan yang berbeza-beza mengikut keperluan.

      Segala usaha ini tiada gunanya jika kita tidak mengekalkannya. Jadi S5 iaitu Sentiasa Amal perlu diterapkan.. Setiap individu dalam jabatan adalah bertanggungjawab terhadap amalan 5S yang ada di pejabat. Setiap individu perlu memastikan 5S ini diamalkan dan dengan itu persekitaran pejabat akan sentiasa selesa dan tersusun.

     Baiklah, sekarang mari kita melawat pejabat saya yang terletak di Aras 8, Blok E12, Kompleks E Putrajaya.


Ini Pejabat Setiausaha Pejabat Timbalan Ketua Akauntan (Operasi). Bilik saya ni biasa je, bagi saya less is more... 2 kerusi tu menghalang pemandangan.. nanti saya alihkan..


Nah lihat, lebih lapang. (hahaha ayat cam Indon jer).. Atas meja saya cuma ada kalendar, planner, tray surat, telefon, printer, kertas memo dan botol air.. Oh! bunga ros pink itu adalah untuk menutup wayar2 yang berselirat.. Selalu orang ingatkan bunga betul tapi sebenarnya bunga tiruan yang saya beli di Alamanda 6 tahun lepas.


Dari tepi agar lebih jelas... Itu bukan bantal busuk.. 


Di sebelah kanan sana pula ialah white board yang telah bertahun-tahun berjasa.. Memaparkan maklumat mesyuarat dan perjalanan bos dan pegawai2.. Rak putih tu saya angkut dari tempat pegawai yang telah bersara dan penggantinya belum sampai.. Tidak ketinggalan jam pink yang dibeli di Tesco, jam ini sentiasa mendahului kita lebih kurang 10 minit.

 
Maklumat rasmi yang penting saya tampal di sini.. Di kanan ialah carta organisasi KPM dan di sebelah kiri ialah carta Organisasi Bahagian Akaun.. Tidak ketinggalan kalendar kuda dan senarai nombor telefon pegawai dan kakitangan yang sering dihubungi bos.. Nombor telefon lain ada dalam buku direktori saya letak berhampiran telefon agar senang nak cari..


Ini tray surat yang ada atas meja saya.. Setiap satunya perlu dilabelkan..

Rak ini juga perlu dilabelkan.. Sebelah kiri atas adalah rujukan, tengah sampul surat dan kanan Letter Head Jabatan. Saya gunakan penutup kotak A4 dan balut dengan kertas. nampak lebih kemas. Di aras tengah pula saya letak buku-buku rujukan, novel dari Dewan Bahasa Dan Pustaka, buku panduan telefon, buku panduan protokol majlis dan lain-lain. Aras bawah sekali saya letak kertas A4, kertas warna, majalah yang saya labelkan sebagai rujukan dan di dalam kotak berbunga tu barang-barang peribadi seperti cawan, milo dan biskut.


penutup kotak A4 saya balut dengan kertas.

Rak besi ini adalah rak lama yang hendak dilupuskan oleh kakitangan lain tapi saya ambil sebab masih boleh digunakan.. Saya simpan fail dan dokumen. Selain tu, kalau saya keluar tinggalkan pejabat contohnya pergi makan, saya akan kuncikan beg tangan di dalam almari ni. Lebih selamat..

Kertas untuk dikitar semula dan bakul sampah pun perlu ada parking supaya tak diletakkan sepah merata-rata..
Laci kami ada 3 tingkat. Setiap tingkat perlu dilabelkan..



Aras pertama yang belabel Rasmi kami simpan alat tulis.. Pen dan pensel saya asingkan.. Untuk cop jawatan dan tarikh saya susunkan dalam satu kotak. Stapler dan penebuk lubang pun ada tempatnya.. tali fail dan klip kertas pun saya asingkan. Gam, gunting, pembaris pendek, liquid paper, highliter dan pisau saya satukan dalam satu kotak. Kotak dan sempadan ni saya buat guna kotak tisu, kotak biskut dan kotak A4 yang saya potong dan balut menggunakan kertas warna.


Laci kedua untuk simpan dokumen berkaitan peribadi contohnya slip gaji, penyata pendapatan, Surat pengesahan jawatan, sijil dan lain-lain.

laci bawah sekali untuk simpan barang peribadi. Saya simpan berus dan ubat gigi, bedak, tabung syiling, makeup dan lain-lain..


bawah meja pulak kami buat parking untuk kasut dan slipar. Setiap kakitangan dibenarkan menyimpan 2 pasang kasut atau selipar sahaja.

Wayar kami balut dalam gelung paip agar nampak lebih kemas dan tersusun.

Setiap orang perlu ada maklumat kehadiran seperti ni.. kalau saya pergi mesyuarat atau bercuti saya akan tukarkan status disini. Maklumat kehadiran ini dibuat mengikut kretiviti zon masing-masing.


Ini ruang menunggu untuk sesiapa yang ingin berjumpa dengan bos. Diletakkan di depan bilik saya. Tak lah cantik sangat tapi boleh lah...

Ini meja bos saya..


Ini pulak tempat bos saya berehat sebentar bersama kit kat.. Ace lihat bunga pepel putih tu... itu lah bunga yg saya gubah

Ini pula kawasan seliaan saya.. terletak betul-betul di depan pintu bilik saya. Mesin faks ini di bawah tanggungjawab saya.


Ini maklumat 'person in charge'


Ini ialah panduan menggunakan mesin faks ini.. bersusah payah saya buat sendiri sambil di bantu oleh internet.. haha

Laci ini untuk simpan faks yang diterima, kertas A4 dan Kertas untuk dikitar semula.


Bahagian cermin tu saya tampalkan dengan doa melihat cermin dan pantun.


Meja perbincangan ini digunakankan kakitangan untuk berbincang dan bergossip pada waktu rehat.. (tapi jarang digunakan sebab letaknya betul-betul depan tingkap bilik bos)


Carta pergerakan pegawai.. merekodkan pergerakan pegawai bagi tempoh sebulan. Pintu sebelah tu adalah pintu bilik perbincangan.
Warna setiap butang magnet melambangkan pergerakan pegawai

Pelan lantai bilik perbincangan

Etika penggunaan bilik perbincangan
Butang untuk off dan on lampu dalam bilik perbincangan.


Peringatan untuk mereka yang menggunakan bilik perbincangan

Sudut 5S Zon Zuhrah.. Merekodkan dan mempamerkan aktiviti 5S setiap zon


Meja kerja Linda.. Sebelum balik, mesti pastikan tiada dokumen atau surat atas meja


Ini meja Fiza.. Kemas dan tersusun

Bulu Ayam dan payung disusun dan ditempatkan di kawasan khas

Fail dan dokumen di simpan dan disusun dengan kemas.

Kaunter aras 8
 
Pintu ke kawasan kaunter aras 8



Ini bunting amalan 5S kami

Ini pula bunting pengiktirafan amalan 5S di Bahagian Akaun.
     Ini sahaja gambar yang sempat saya ambil.. Walaupun kami tak dapat hadiah zon 5S tebaik tapi alhamdulillah, 5S telah berjaya di amalkan di jabatan kami.. Banyak lagi zon lain yang lebih baik dari zon kami tapi saya malu nak amik gamba..



Thursday, February 2, 2012

 Salam....

Bila time tengah moody dan tensi ini saya mula lah mencari-cari gambar2 yg boleh buat saya ceria semula.. Jadi saya nak kongsi sikit gamba-gamba ni.. Ada gamba yg diulang tayang dan ada gambar baru.. ok, kita enjoy!!

Bunga ni saya gubah masa pertandingan menggubah bunga di pejabat. Alhamdulillah dapat lah nombor 1

Ni bunga yang jual. Puan Yusliana tempah tahun lepas

Bunga ni saya gubah untuk letak dalam bilik bos.. Baru lah berseri sikit bilik bos saye..


Bunga ni ditempah oleh Nur Soleha... Dah lama dah rasanya tahun 2010 dulu..

Bunga ni pulak ditempah oleh Puan Yusliana jugak.. Dia hadiahkan pada staff yang baru masuk rumah baru..


Ni pulak hantaran yang saya gubah untuk Cik Lidyia untuk hantaran dari pihak lelaki untuk dia.. Senang kerja dengan Cik Lidyia ni, tak cerewet


Untuk bekas cincin. Maaf lah kualiti gambar tak memuaskan sebab pakai DSLR husband tapi tak reti adjust.





Hand bag dia memang cantik duduk terletak atas dulang.. Handbang jenis keras paling sesuai untuk buat hantaran.

Set mandian dari Body Syop

Kain pasang ni mula-mula saya gubah bentuk bunga tapi kainya licin sangat jadi tak kemas gubahan tu.. Last-last saya gulung pastu ikat riben. habis cerita

Buku gambar frame tu untuk letak mas kahwin dan pasu love kecik tu untuk letak bunga rampai

Set produk kecantikan kulit dari brand ape tah, tak ingat..

Gubahan Sirih junjung dari bunga rose segar berwarna biru ni saya buat untuk sepupu bertunang.


Set hantaran berwarna biru menjadi pilihan Ain.

Kotak untuk letak kain pasang

tuala mandi

bakul macam ni ada dua. Satu untuk letak buah dan satu lagi untuk letak coklat


Ni pulak hantaran yang saya buat untuk kawan satu Politknik dulu. Mula-mula Adib nak warna coklat gold tapi saya nasihatkan ambik warna yang lebih fresh sebab warna gold coklat tu dah out dated.. Yer lah, lagipun saya ni bukan pandai sangat gubah hantaran, takut pulak saya tak pandai nak gayakan warna tu.


 seluar jeans dalam dulang hantaran yang saya beli di KK Home Deco dengan harga RM 9.90 sahaja.

Baju kemeja dan dulang hantaran dari KK Home Deco


Bakul untuk sejadah. Bakul ni adib pilih sendiri tinggal saya gubah jer.. mula-mula dapat bakul ni, mak ai! besarnya macam bakul nak g pasar.. Insyaallah saya cuba buat yg terbaik supaya nampak fresh..

Bakul ni untuk letak kasut

Tiga bakul lebar. Barang hantarannya adib susun sendiri..


Bakul hantaran semasa majlis bertunang abang sulung saya.. Mak suruh saya buat hantaran tema warna merah. Ada 5 dulang semuanya.. Saya buat sama je kelima-lima.

tambah riben di belakang supaya tak nampak rompong

tambah rama-rama sekor
Hantaran ni ditempah oleh Zana, PA satu pejabat.. dia nak warna tema lain dari orang lain.. Iaitu warna oren

Zana tempah 13 dulang tapi ini jer yang saya gambar yang saya sempat ambil pakai hp. Gambar hantaran lain diambil guna kamera husband dan di save dalam hard disc. Tapi hard disc tu hilang..

Dalam bakul ada bakul letak bunga rampai
pandangan tepi

ini gambar hantaran yg saya ambil dari facebook zana

Ini jugak

Kotak kecik untuk letak cenderahati.. Nak bagi pada orang yg rapat2


bakul bunga rampai


Balang kuih raya saya dapat hadiah masa kahwin.. Kosong jer jadi saya tambah bunga dan riben.. Berseri sikit.. Masa tahun pertama kahwin satu rumah tema warna kuning.


nak jadikan cerita, suami saya pegang tangkai bakul besi ni untuk bawak biskut raya makan depan tv. Tiba2 tangkai tu tercabut jatuh tergolek balang biskut raya ni, pecah 2 biji. Minggu depanya kakak ipar datang rumah, dia pun nak makan biskut raya depan tv, tangkai bakul besi ni tercabut lagi, pecah pulak lagi 3 biji.. Akhirnya semua masuk tong sampah..

kenangan

Telekung ni saya gubah untuk hadiah perpisahan Puan Zaini (bos lama saya). Budak tecit tu pun nak inteprem

    Setiap orang ada cara masing-masing untuk tenangkan fikiran. Bagi saya, kerja menggubah dan kerja-kerja seni boleh bagi kegembiraan dan kepuasan pada saya. Saya pulak memang minat sangat buat kerja-kerja seni ni.. kadang-kadang tu kalau dh lama sangat saya tak menggubah mula lah saya rasa tak sedap hati.. jadi rindu nak tengok bunga, span dan riben.. jadi sekali-sekala saya akan ubah suai gubahan bunga yang ada kat rumah.. Tak pasal-pasal ajak husband pg Nilai 3 untuk beli bunga baru..

    Sape-saya nak tempah hantaran atau bunga boleh lah sms saya yer.. Insyaallah harga masih munasabah.. 019-3832579. Saya buat sebab minat bukan nak cari keuntungan sangat..

Wednesday, February 1, 2012

Cukup-cukup lah...

Salam...

Hari ni emo sikit, jadi nak update blog pun kena emo jugak....

Cukup-cukup lah tu nak menyindir dan mengata orang!!!!!!!! tak payah lah nak perli orang lain macam lah diri sendiri tu maksum... hari ni Allah bagi nikmat kesihatan dan rezeki, esok mana tahu Allah tarik balik semua tu..

Kita ni tak tau bila ajal kita akan sampai.. Ada yang Allah panggil bila dh tua, ada yang Allah panggil masa masih muda belia lagi... Kalau tak sempat nak bertaubat.... Nauzubillah... Kita tak pernah tahu kalau ajal kita cuma tinggal sejengkal je lagi... Sedangkan orang sihat tengah makan pun boleh meninggal...

Setiap orang pernah buat kesalahan... tapi kita ni siapa nak hukum orang tu masuk neraka dan kita ni confirm masuk syurga... Kalau pun orang tu ada buat kesalahan tak payah lah kompang sekampung.. Perli depan-depan, sindir, cerita kat orang pastu ada mat koyak yang tokok tambah garam dan lada kasi kick lagi... Huhhh!!!! Pedas panas berbisa sungguh cerita ko ni cik Jah!! Aku sokong! Aku sokong!!!

Sebelum pandang orang, pandang diri sendiri dulu... Sebelum nilai orang, nilai diri sendiri dulu... Kita ni lawa ke nak cakap orang hodoh??? Kita ni pandai ke nak cakap orang bodoh??? Kita ni baik ke nak cakap orang jahat??? Kita ni rajin ke nak cakap orang malas???

Bersyukurlah sebab Allah bagi nikmat kesihatan tu... Ada orang sakit astma, kencing manis, cancer, strok dan macam-macam lagi.. Hari-hari berdoa dan beribadat pada Allah, berikhtiar beribu-ribu ringgit, dari Perlis sampai ke Sabah mencari penawar, dari dalam negara pergi ke depan Kaabah bersujud dan merayu dengan serendah-rendah dirinya supaya Allah sihatkan tubuh badan. Bersedekah dan berzakat tanpa henti.. Semoga dengan segala usaha tu Allah akan kembalikan kesihatan seperti sedia kala.... Tapi kita yang sihat segar bugar ni huh!!! senang-senang mengata menyindir orang sana-sini... Dia tu teruk lah, dia tu buruk lah, dia tu busuk lah!!!

Bila makan di gerai dan restoran, ada orang buta, anak yatim atau orang dari sekolah pondok datang mintak jasa baik kita hulurkan sedikit rezeki dari poket kita untuk dikongsi bersama mereka... Apa yg kita buat????? Jeling je??? cakap "takde-takde"??? geleng-geleng kepala?? atau cakap "tengok ok jer, pergi lah kerja, jangan mintak sedekah jer!!".... Sampai hati kita buat kat orang macam tu??? Tak ingat ke kita pada Allah bila waktu susah??? Tak ingat ke kita berdoa setiap kali lepas solat "Ya Allah, murahkanlah reseki aku, berilah aku duit lebih supaya aku mampu beli ini, ini, ini....... dan ini..." Tak ingat ke?? tapi bila Allah dh beri rezeki lebih pada kita apa kita buat pada orang lain yang tengah susah???? "Aku penat-penat kerja senang-senang nak bagi kau"

Allahhuakbar!!!

Kita tak tahu esok atau lusa kita akan diuji oleh Allah... Bila kita berada dalam keadaan sangat susah, sakit dan tersiksa, kita rasa seperti kita nak merayu mintak tolong pada sesiapa sahaja dan nak mintak ampun pada semua orang yg dengan sengaja atau tidak kita sakitkan. Mungkin kita dah lupa saat siksa tu ataupun belum pernah rasa saat siksa tu, tapi Allah maha berkuasa... Kunfayakun!!!! dengan izin Nya masanya akan tiba...

Semua yang saya tulis kat atas ni tak ada kaitan dengan sesiapa.. Sekadar nak ingatkan diri sendiri dan bertaubat kepada Allah SWT...

(Kita = Kau)

Thursday, January 19, 2012

Azam dan hajat yang belum tercapai..

Salam..

    Biasalah, semua orang ada azam dan hajat yang masih belum tercapai.. Selalunya azam tahun lepas masih belum dapat di tunaikan akan di foward pulak ke tahun ni.. Begitu jugak saya, masih banyak lagi belum tercapai dan perlu di foward tahun ini.. Kalau tak cukup semangat apa pun tak akan tercapai..

    Hari ni saya tak nak cerita pasal azam tapi nak cerita pasal hajat. Bagi saya hajat berbeza dari azam sebab hajat boleh ditunaikan bila-bila dan azam perlu semangat dan kekuatan untuk ditunaikan.

    Hajat yang selalu saya sampaikan pada suami namun belum tertunai lagi ialah saya nak pergi berjalan ke Kuala Terengganu.. Raya Cina tahun lepas kami rancang nak pergi ke Terengganu tapi tak kesampaian sebab saya dan suami demam panas.. Kebetulan kakak ipar dari Sabah datang, jadi untuk tak menghampakan dia kami pergi ke Melaka sahaja.. Ok lah dari duk lepak kat rumah saje.. Buat apa nak pergi Terengganu?? Sebenarnya banyak yg saya plan kalau saya pergi ke sana. Saya nak jumpa kawan lama yang tengah sarat mengandung, saya nak makan keropok losong (saya minat sangat dengan keropok losong), Nak beli baju batik sutera, nak beli tudung bawal, nak berehat tepi pantai, nak makan nasi dagang dan banyak lagi hajat lain... Sebenarnya, saya rasa berada di pantai timur seperti berada di halam kampung halaman sendiri.. Memang pun kampung saya kat Kuantan tapi setiap negeri ada keunikannya tersendiri.. Walaupun dah pernah ke Terengganu 2 tahun lepas tapi macam tak puas sebab masa suntuk sangat.

    hajat saya yang lain ialah saya nak pergi IKEA. Sejak kawin cuma sekali jer saya dgn husband pergi ke IKEA. Husband SANGAT-SANGAT tak minat pergi IKEA sebab jem, susah parking, ramai orang, dan macam-macam lagi alasan dia. Jadi tahun ni saya mintak dia berjanji untuk bawak saya pergi IKEA.. Akhirnya dia setuju tapi tak tau lagi lah bila...

    Selain tu, saya jugak berhajat nak ke rumah kakak ipar di Kota Kinabalu, Sabah. Kesian pulak dengan mak dan ayah mertua dah lama tinggal dengan kami di sini sampai saudara mara kata dorang dh jadi orang KL.. Seronok jugak dapat bawak dorang balik ke sabah sambil melawat rumah saudara mara. Selain tu dapat jugak beli mutiara, kristal, ikan masin, ikan bilis dan udang kering gemuk-gemuk.. Kalau sudah balik ke Sabah tu, tak sah kalau hari-hari tak makan ketam dengan udang besar... Ketam segar boleh dibeli hidup-hidup, udang pulak besar-besar macam marker pen. Pastu Ketam kakak ipar masak kari dan udang saya goreng celup tepung, pehhh bestnyer... Selain tu nak jugak beli ambuyat (sagu, makanan tradisi sabah) sebab stok ambuyat dalam peti ais dh habis.. Tak lupa jugak nak pergi Restoran Nelayan kat Bukit Padang, mesti order Prawn Butter yang sedap dan ketam kulit lembut sambil menyaksikan persembahan kebudayaan..

    Itu lah antara hajat saya. Semoga semuanya tercapai Insyaallah...

Monday, January 16, 2012

Beza tinggal di kuarters dan rumah sendiri

Salam...

   Lama dah saya tak update blog ni.. Banyak betul kekangan yang menghalang. Ade banyak cerita nak tulis tapi rasa-rasa macam tak sesuai untuk dibaca orang lain.. tak pe lah, simpan dan pendam sendiri...

   Hari ni saya teringin nak tulis tentang pengalaman saya tinggal di kuarters dan rumah sendiri..

   Dari mula berkahwin, kami tinggal di rumah sewa yang kami sewa dari kawan sepejabat dengan bayaran RM 500 sebulan.. Rumah apartmen Putra Damai di Presint 11. Rumah tu mempunyai 3 bilik dan 1 bilik air. Rumahnya kecil namun sesuai untuk kami sebagai pasangan baru berkahwin.. Tambahan pula kami tak banyak barang.. Barang-barang dan perabot saya semasa bujang pun masih muat di rumah sewa ini..

   5 bulan selepas tu saya mohon berpindah ke kuarters.. Alhamdulillah, sebulan kemudian saya dapat surat tawaran kuarters apartmen kelas G di Presint 9.. Urusan permohonan kuarters saya agak mudah kerana saya mengandung masa tu.. Rumah yang kami dapat agak luas dari rumah sewa kami. 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Biasalah, manusia susah puas dengan apa yang dia dapat.. Saya rasa dapur nya kecik sikit dan ada kaunter di dapur yang boleh nampak ruang tamu.. Jadi, segala kuali dan botol kicap kat dapur boleh nampak sampai ke ruang tamu.. Walau bagaimanapun kami hanya tinggal berdua, itu semua tak jadi masalah untuk kami..

    Untuk membeli barang keperluan dapur, kami akan ke Alamanda. Bila bosan kami akan ke Tesco atau Giant di Kajang. Untuk cari restoran makan pula kami akan ke Bangi. Kami memang jarang ke Kuala Lumpur kerana tak suka dengan kesesakan lalu lintas.

   Bayaran bulanan pun lebih murah jika dibandingkan dengan menyewa.. Potongan gaji saya adalah sebanyak RM330 sebulan. Tak lama selepas tu Ibu dan Bapa mertua saya tinggal bersama kami.. Jadi kami perlu beli lebih banyak perabot dan kelengkapan lain untuk keselesaan mereka.. 4 bulan selepas tinggal di rumah kuarters tu saya telah melahirkan anak saya.. Jadi, barang kami semakin bertambah.. Saya mula rasa tak selesa dengan barang yang banyak dan kesian dengan anak dan mertua.. Rumah tu seperti tak selesa buat mereka.. Saya dan suami mula terfikir untuk membeli rumah sendiri..

   Disinilah bermulanya pencarian rumah kami... Pada masa tu suami saya masih belum sah jawatan jadi kami bercadang untuk membeli rumah dengan menggunakan potongan gaji saya seorang.. Pada masa tu, kelayakan pinjaman perumahan kerajaan saya adalah sebanyak RM 156,000.00.. Banyak rumah yang kami jumpa tapi jarang berkenan.. Sehinggalah kami terjumpa rumah teres setingkat di Semenyih dengan keluasan 20 x 70 kaki. Rumah tersebut ada 3 bilik tidur dan 2 bilik air.. Harga rumah tersebut RM 158,00.00.. Setelah berbincang, kami setuju untuk membeli rumah tersebut.. Baki RM 2000 kami bayar tunai. Jadi potongan bulanan saya sebanyak RM 774.

   Saya dan suami sangat gembira dan exited nak tinggal di rumah sendiri. Macam-macam yang kami rancang untuk rumah tersebut. Kami ingin ubah suai dapur dan besarkan sehingga ke hujung longkang, bercucuk tanam di belakan rumah, ubah suai parking depan rumah, buat kabinet dapur dan macam-macam lagi. Tambahan pulak suami saya jenis pandai buat kerja-kerja pertukangan dan wiring jadi lebih senang sebab tak perlu panggil tukang untuk kerja-kerja kecil... 

    Selama tiga tahun kami tinggal di kuarters akhirnya impian kami untuk tinggal di rumah sendiri tercapai.. Gembira sangat sebab dapat ubah suai rumah ikut kehendak sendiri.. Kami beli lampu chandelier untuk ruang tamu, kebetulan kami terjumpa kedai jual lampu chandelier cantik yang murah di seri kembangan.. Kami jugak pasang kipas jenis kawalan jauh untuk seluruh rumah.. Lebih murah dan mudah dari pasang kipas kawalan kelajuan di dinding sebab perlu buat wiring baru.. Kipas tu kami beli di Nilai 3 (tapi lampu chandelier mahal) Selain tu kami beli set meja makan baru dan set meja makan lama kami letakkan di dapur. Sofa pun kami beli baru. Sofa lama kami jenis 3 seater tu kami mix kan dengan set sofa baru.. Walaupun tak berapa ngam kami pakai jugak sebab sayang sofa tu masih cantik dan elok..

    Kawasan kejiranan kami pun milik bumiputra.. Jiran-jiran nya pun baik.. Selain itu rumah kami hanya 1 kilometer dari pekan Semenyih. Ada kemudahan stesyen bas, Ambank, Hong Leong Bank, Maybank, The Store, KFC, cuci kereta, bengkel kereta, kedai borong barang dapur, kedai borong barang plastik, kedai borong barang bakeri dan banyak lagi kedai-kedai lain. Selain itu, setiap malam Sabtu ada pasar malam di belakang The Store.. Setiap pagi Sabtu dan Ahad pula ada pasar pagi berhampiran pasar basah.. Banyak dijual sayur dan ikan, anak pokok, baju, permainan, dan lain-lain. Lebih kurang 5 minit dari Pekan Semenyih iaitu di Taman Pelangi Semenyih, Ada Tesco, Petronas, Bank Islam, restoran, bengkel kereta dan banyak lagi kedai yang lain. Jadi, semenjak tinggal di sini sangat senang untuk kami mendapatkan keperluan harian tanpa perlu ke Bandar Kajang atau Bangi.

    Bila kami dah selesai berpindah, proses kemas rumah bermula, kalau dulu di kuarters ada bilik stor tapi di sini tiada, jadi bilik ketiga kami gunakan untuk simpan barang.. Barang kami terlalu banyak.. Rumah yang asalnya nampak besar mula jadi sempit. Bilik ketiga tu tak dapat digunakan langsung, hanya jadi stor semata-mata.. Terasa rugi pulak..

    Sepanjang bapa mertua saya tinggal bersama kami, dia tak pernah menghadapi masalah kesihatan yg teruk.. Tapi pada bulan puasa tahun lepas dia selalu diserang astma.. Dia memang menghidap penyakit astma tapi dh lama tak diserang.. Kalau mula terasa sesak, dia akan pam ubat dan tak lama lepas tu akan sembuh.. Sejak tinggal di sini, 2 kali dia ditahan di hospital kerana serangan astma... Bila kami fikirkan, mungkin ada kaitan dengan kilang-kilang di sekitar kawasan Semenyih ni. Di sekeliling rumah kami ada kilang plastik, aluminium, perabot, cat dan banyak lagi.. Tambahan pula satu projek pembinaan kilang semi D sedang di jalankan berhampiran rumah kami..

    Suami juga sering demam dan selsema. Suami banyak mengambil cuti dan MC sepanjang tahun 2011 dan ini menjejaskan prestasi kerja dia.. Kadang kala dia diserang selsema teruk sehingga sukar bernafas dan dah 4 kali sepanjang 2011 di bawa ke unit Kecemasan Hospital Putrajaya.. Namun doktor mengesahkan suami tiada masalah astma atau pun sakit jantung..

     Daniel yang baru berumur 3 tahun lebih juga selalu selema.. pada bulan puasa tahun lepas Daniel di tahan di Hospital Putrajaya selama 3 hari kerana demam dan bengkak tonsil.. Sebelum dibawa ke hospital, daniel mengalami demam, batuk, selsema dan bengkak tonsil selama 3 hari dan sepanjang itu dia tiada selera makan dan tak mahu minum air sehingga badan dia diydrated.. Dia di beri drip air sebanyak 3 botol.. Kami juga di minta berjumpa dengan pakar pemakanan kanak-kanak untuk mendapatkan khidmat nasihat berkenaan masalah berat badan Daniel yang kurang berbanding usia nya.. Semua ini menjadi kerisauan kami sekeluarga.

    Kesihatan saya juga semakin menurun. Semasa saya mengandung anak kedua, saya sering demam dan mengalami tekanan darah rendah. Sehinggakan saya keguguran pada bulan September lepas. Saya juga selalu demam dan selsema sejak tinggal di sini.

    Apa bila di rumah, kami hadapi masalah lain pula, bilik tidur utama iaitu bilik tidur kami tidak mempunyai tingkap.. Pelikkan???? tapi itu lah kebenaran.. Bilik kami hanya mempunyi tingkap untuk udara dan cahaya masuk dan itu pun terletak tinggi berhampiran bumbung ( bumbung tinggi 12 kaki) kami langsung tak dapat capai untuk pasang langsir cuma grill dipasang oleh tukang sebelum kami pindah masuk dulu.. Itu pun tukang pasang grill tu mengadu kena buat tangga panjang baru untuk pasang grill pada tingkap atas tu.. Terlampau tinggi, tiada tangga standard biasa yang boleh sampai. Jadi, bila waktu tengahari memang langsung tak selesa tidur di bilik tu.. Cahaya panas matahari masuk terus dan bilik jadi silau seta berbahang. Kami pernah juga berangan-angan untuk tambah pelantar di bahagian atas supaya rumah kami jadi 2 tingkat (bahagian atas untuk tempat tidur dan bawah untuk letak barang/ almari tapi tu semua menelan belanja lebih dari 30 ribu ringgit dan sepanjang renovate kami tidak boleh tinggal di sana.. Terlalu banyak masalah...

     Baru-baru ni kami pergi ke rumah kakak ipar di Kuarters Presint 18, Putrajaya.. Teringat kembali kenangan lama kami semasa tinggal di kuarters dulu.. Udara lebih segar dan keadaan lebih tenang.. Tiada bau asap kilang dan debu dari projek pembangunan.. Kami mula terfikir untuk kembali tinggal di kuarters.. Kami mula mempertimbangkan baik dan buruk tinggal di kuarters dan rumah sendiri.. Demi kepentingan kesihatan kami sekeluarga, rasanya kami perlu berpindah balik ke kuarters.. Yang paling saya risaukan adalah Daniel yang kadang-kala selsema dan nampak semput.. Saya takut satu hari nanti dia akan menghidap penyakit astma jika kami tidak cuba buat sesuatu..

     Kami pun tak pasti apa punca masalah kesihatan kami ni samada masalah asap dari kilang-kilang atau pun masalah air sedangkan kami telah pun menggunakan penapis air untuk kegunaan memasak dan minum... Wallahualam...