Thursday, March 27, 2014

Cita-cita seorang isteri, ibu dan anak...

Salam...

Setiap manusia pasti ada cita-cita masing-masing.. Di sekolah cikgu akan tanya apa cita-cita kita dan ditulis dalam buku laporan kita.. Ada beberapa cita-cita saya masa di sekolah dulu. Antaranya saya nak jadi kerani macam mak, kemudian nak jadi cikgu atau ustazah, nak jadi saintis, nak jadi angkasawan, nak jadi doktor, nak jadi pramugari, nak jadi pembaca berita, nak jadi pengacara tv dan macam-macam lagi..

Tetapi bila lihat ke alam nyata, saya sebenarnya adalah seorang penjawat awam. Bekerja dengan Kerajaan Malaysia. Dan bertugas sebagai seorang Setiausaha Pejabat.

Bila usia mencapai 30 tahun, saya mempunyai cita-cita baru. Impian untuk menjadi seorang SURI RUMAH. Suri rumah sepenuh masa. Bila difikirkan balik, cita-cita ini mungkin tidak dapat disempurnakan kerana terikat dengan komitmen tugas dan keadaan kewangan keluarga yang mendesak saya untuk sama membantu suami mencari nafkah dan keselesaan untuk keluarga.

Alangkah indahnya jika saya dapat mendidik sendiri anak-anak dengan tangan sendiri. Melilhat perkembangan fizikal, sahsiah dan rohaninya.. Mengajar anak-anak bersolat 5 waktu sehari semalam. Mengajar anak-anak membuat kerja rumah, menyuapkan makanan ke mulut anak dari masakan sendiri, menyediakan pakaian lengkap untuk anak. Menidurkan anak setiap malam..


Alangkah indahnya jika saya dapat menyediakan kelengkapan untuk suami pergi bekerja. Mengemaskan beg kerja, menyediakan roti bakar dan teh o untuk sarapan pagi, memasak bekalan nasi goreng tak pedas dengan telur mata beserta bekal air putih. Menggosok pakaian kerja suami lengkap untuk 1 minggu setiap hari sabtu atau ahad. Menyambut beg kerja suami setiap kali suami balik kerja. Sekali sekala mengajak suami dan anak-anak makan malam di kedai.


Alangkah indahnya jika dapat menyapu habuk-habuk dilantai rumah, mengemop lantai sehingga berkilat. Mengebas habuk dan sawang di almari hiasan. Menukar langsir setiap 2 atau 3 bulan sekali. Menukar kedudukan kerusi sofa dan almari perhiasan agar tak jemu. Menggubah bunga untuk diletakkan di atas meja makan. Menukar cadar katil, bantal dan meletakkan wangian lavender dalam bilik tidur.


Alangkah indahnya jika dapat menjahit baju raya untuk Ayang, Daniel dan Eryna. Semua warna sedondon lengkap bersampin, bersongkok, tudung dan kasut berkilat.. Merebus ketupat, memasak rendang ayam dan daging, memasak kek marble dan kek span vanila beserta topping fresh cream. Tak ketinggalan cream puff kegemaran Daniel, biskut kegemaran Eryna dan kurna ayam kegemaran  Ayang.. Memilih langsir berwarna kelabu bagi dipadankan dengan day curtain warna cream bercorak damask. Menukar gambar di dalam frame gambar dengan gambar terbaru seisi keluarga. Menggubah bunga baru berwarna pink hijau untuk diletakkan di atas almari hiasan. Melayan tetamu yang datang beraya di rumah. Bersembang dan bercerita tentang masakan dan kuih muih..

ni contoh aje.. gambar Siti beraya

Alangkah indahnya jika dapat datang melawat mak abah setiap hujung minggu. Mengajak mak, abah, long, uda, pipi dan amir datang berjalan di rumah. Menyediakan bilik tetamu untuk mereka tidur. Masak kan makanan untuk mereka makan ketika berada di rumah. Membantu mak dan abah menguruskan kenduri kahwin long atau adik-adik. Bersembang sehingga ke pagi bercerita tentang nenek, kampung, saudara mara dan pokok buah di kebun.



Ini semua cuma angan-angan.. Aku berdoa akan menjadi kenyataan.. Insya Allah..







Tuesday, March 11, 2014

11 Mac 2014

Salam..

Lamanya tak ber blog..

Macam-macam perkara berlaku dalam hidup saya tapi selalu tak berkesempatan untuk kesini dan bercerita.

Jadi hari ni, nak ambil sedikit masa untuk mencoretkan serba sedikit kisah hidup ini.

1. Bertukar keluar dari Bahagian Akaun ke Unit Komunikasi Korporat

      Sebenarnya pertukaran ini memang tidak dirancang. Saya menyangkakan yang saya akan bertukar ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia tapi apa daya Allah menentukan rezeki saya di sini. Apapun, permintaan dan doa saya untuk keluar mencari pengalaman lain di tempat baru dimakbulkan Allah SWT.. Alhamdulillah..
      Apa yang boleh saya katakan, bidang kerja sangatlah berubah dan lain sama sekali. Apa ilmu dan pengalaman saya di sepanjang berada di Bahagian Akaun dan Bahagian Pendidikan Islam langsung tak sama dan tak banyak dapat saya praktikkan di sini. Bila berada di tempat baru, dapat saya lihat dan rasai sendiri kelemahan-kelemahan diri saya.. Saya agak pelupa dan banyak bergantung kepada catatan yang saya buat. Jadi, selama lebih 9 tahun bekerja sebagai Setiausaha, saya banyak membuat rekod dan catatan berkenaan surat atau apa-apa kerja yg pernah saya buat. Di sini, rekod-rekod tersebut benar-benar membantu saya mengesan kembali kerja-kerja yang telah saya buat. Contohnya bos telah meminitkan di dalam satu surat agar pegawai A menguruskan perkara itu, mujurlah saya rekod sebab perkara berkaitan surat tersebut akan ditanya semula dan mudahlah saya rujuk kembali kepada siapa surat tersebut saya serahkan.. Alhamdulillah.. Namun, disebabkan saya baru disini mudah saya dimanipulasikan kerana kurang ilmu, pengalaman dan pengetahuan mengenai bidang kerja bahagian ini.
     Selain itu budaya kerja juga berubah. Agak mengecewakan bila selama beberapa tahun kita biasa bekerja dengan tempat yang agak tegas dengan peraturan dan tatacara betul berkenaan pejabat, kemudian kita bekerja dengan tempat yang agak "longgar". Disiplin yang selama ini diterapkan dalam diri jadi semakin terhakis.. Tak perlu lah saya ceritakan, cuma untuk peringatan sendiri agar saya tidak hanyut dibuai kebebasan.

2. Eryna Dhaniyah Maisarah mencapai umur 1 tahun.

    Tiada apa yang lebih manis bagi saya sebagai seorang ibu bila dapat melihat anak yang dicintai membesar dengan sihat di depan mata.. Subhanallah, ingin saya nyatakan di sini betapa hati saya merasa nikmat manisnya menatap wajah Eryna. Setiap hari walaupun di pejabat, saya akan tersenyum bila teringatkan dua batang gigi susu Eryna.
      Apa yg menjadi kerisauan saya bila berat badan Eryna tidak mencapai berat badan ideal. Eryna agak kecil berbanding umurnya. Eryna agak cerewet dengan makanan. Eryna tak suka makan bubur nasi sedangkan itulah menu utama untuk dia membesar dan sihat. Sehingga ke hari ini Eryna masih breastfeeding sambil minum susu formula pada waktu siang.
      Eryna sudah pandai berjalan, dia boleh berjalani dari ruang tamu ke dapur. Sudah tentu Eryna akan memenatkan neneknya bila perlu mengejar Eryna dari ruang tamu ke dapur setiap hari.

3. Daniel dengan "We are in Maria"

    Daniel selalu menyanyi lagi "We are in Maria" lagu sekolah tadika dia sekarang. Umur Daniel tak lama lagi akan mencapai 6 tahun. Daniel sudah mula pandai mengira tolak dan tambah. Daniel juga sudah faham beberapa perkataan perbualan mudah dalam Bahasa Inggeris. Daniel sudah boleh mengenal huruf ABC sehingga Z namun kadang-kala terlupa dan terkeliru dengan beberapa huruf. Namun pada saya itu satu perkembangan yang sangat membanggakan.
      Bayangkan pada satu ketika dulu Daniel tidak pandai bercakap sehinggalah dia berumur 4 tahun sehingga perlu dihantar untuk terapi percakapan di Hospital Putrajaya. Pihak doktor Hospital menasihatkan kami menghantar daniel ke sekolah atau playschool agar Daniel dapat belajar bergaul dengan rakan-rakan. Alhamdulillah selepas sebulan menghantar Daniel ke Tadika Bonda Mama Semenyih Daniel mula menunjukkan perkembangan positif. Daniel sudah memiliki banyak perkataan seperti "ammi" -mummy, "Appa" -papa, "enyek: -nenek dan banyak lagi.
       Alhamdulillah kami sangat bersyukur kerana Daniel sudah pandai bercakap dan sekarang menjadi seorang kanak-kanak yang sangat "talkatif".. Banyak betul cerita yang ingin diceritakan kepada kami bila kami balik dari kerja. Dari cerita tentang sekolah, kawan-kawan, guru, nenek, adik, atuk, permainan, kartun televisyen dan banyak lagi. Walaupun Daniel sangat ketara pelat, kami tetap berbangga, gembira dan bersyukur dengan anugerah Allah ini.

4. Demam melebihi 3 hari

      Bulan Februari 2014 saya mengalami demam teruk. Pertama kali dalam hidup saya mengalami demam melebihi 6 hari. 2 kali saya buat pemeriksaan darah iaitu Klinik Kesihatan Kajang dan Klinik Kesihatan Putrajaya. Kedua-duanya mengesahkan yang saya tidak mengalami Denggi.
     Demam kali ini sangat menyakitkan. Rasa sakit dan lenguh pada bahu, badan, lengan, betis, peha dan tapak kaki.. Rasa sakitnya bukan seperti rasa penat tapi rasa berbisa. Sepanjang malam saya menangis kerana menahan sakit dan tak boleh tidur. Sakit kepala yang amat sangat dan bila dipicit tak dapat dipastikan sakit di bahagian mana. Badan rasa sejuk dan menggigil, tak larat untuk berjalan hanya boleh terbaring sahaja namun tak dapat tidur kerana rasa sakit sepanjang masa.
     Bila saya makan ubat antibiotik dan panadol, rasa sakit tu berkurang namun hanya sekejap. Dalam masa 4 jam sakit akan datang semula dan kali ini saya terpaksa makan panadol beserta ubat tahan sakit. Ya, saya tahu ubat-ubat tersebut tak baik untuk kesihatan jangka masa panjang tapi saya betul-betul tak tahan.
     Bila demam masuk hari ke 4 keadaan saya bertambah teruk dan bukan bertambah baik. Tekak rasa sangat sakit. Setiap kali menelan air liur seperti satu perjuangan hebat. Tekak terasa keras dan bengkak sehingga nak minum air pun rasa sakit yang teramat sangat. Bila saya tengok keadaan tekak saya di cermin, tekak saya terutama di tonsil ditumbuhi tompoh-tompoh putih seperti nanah. Saya cuba lap dengan putik kapas tapi tak ada kesan pada putik kapas. Keadaan tekak sangat teruk, bengkak, merah dan sakit. Setiap malam saya menangis kerana langsung tak boleh tidur. Tidur berbaring menyebabkan tekak rasa terhimpit dan sakit jadi saya tinggikan bantal. Saya mula rasa curiga kenapa keadaan kesihatan saya semakin teruk. Kebetulan beberapa hari sebelum saya demam saya ada melawat Aisyah yang dimasukkan ke Institut Kanser Negara (Putrajaya) kerana kanser limfa. Mula lah saya membuat andaian yang macam-macam.. Allahuakhbar takutnya saya pada ketika itu...
     Sehinggalah saya mendapatkan rawatan homeopati selain dari saya mendapatkan suntikan pada punggung (tak tahu ubat apa). Tapi doktor yg merawat saya tu kata suntikan itu untuk merawat tekak saya yang agak teruk. Saya mula makan antibiotik yang lebih kuat dari yg pertama dulu. Keadaan saya mula beransur-ansur baik dan proses sehingga saya betul-betul pulih mengambil masa seminggu. Bila siang terasa sihat dan larat untuk bekerja tapi malam jadi demam semula. Alhamdulillah kini saya pulih semula dan boleh bekerja seperti biasa. Dalam masa sakit tu saya selalu berdoa kepada Allah agar penyakit saya ini tidak menimpa suami, anak-anak ataupun keluarga saya.

5. Doa untuk MH370

     Dunia digemparkan dengan misteri kes kehilangan pesawat Syarikat MAS MH370 yang membawa 227 orang penumpang termasuk 12 orang anak kapal. Hari ini masuk hari ke 3 tapi pesawat masih belum dapat ditemui. Di darat tiada kesan pesawat terhempas dan di laut tiada tanda pesawat menjunam ke dalam air. Semalam pasukan tentera vietnam terjumpa tompokan minyak tapi setelah pemeriksaan dibuat minyak tersebut bukan milik MH370 sebaliknya minyak dari kapal laut.. terdapat 2 orang penumpang yang menggunakan pasport palsu iaitu dari austria dan itali.. Setakat ini, akibat dari kes kehilangan ini, pihak FBI telah mula datang ke Malaysia untuk melakukan siasatan.
    Pesawat seolah-olah hilang begitu sahaja. Tiada apa-apa petunjuk dapat dijadikan pedoman untuk mengesan kembali pesawat tersebut.. Seluruh rakyat Malaysia sedang bedukacita dan Malaysia kini menjadi perhatian dunia. Berita ini menjadi tajuk utama di dada akhbar seluruh dunia. #prayforMH370